Sumpah tujuh keturunan bukan sumpah biasa-biasa. Usai padang jarak padang terkukur tersemat di dada zaman, tamatlah jua sumpah seorang pejuang budaya dan sejarah di bumi Langkawi yang terpendam di dasar hati puluhan tahun. Pejuang tidak pernah berundur. Sekalipun bercerai nyawa dari badan, berdikit-dikit beliau terus berpencak secara terus agar seni budaya dan sejarah Mahsuri tidak hilang begitu sahaja.Gelanggangnya adalah masyarakat. Kuda-kuda ditegapkan selama ini bagi menangkis musuh. Musuhnya adalah masa dan peradaban. Namun, Abata tetap dijunjung dan diletakkan pada singgahsana termahal. Ku Halim Ku Hassan bukan manusia biasa-biasa. Sajak-sajaknya umpama keris berlok tujuh yang dilangir dengan limau dari 99 pulau.Ku Halim Ku Hassan dilahirkan pada 11 Oktober 1947 di Kampung Raja, Padang Mat Sirat Langkawi. Pesara kerajaan ini telah mula terlibat dengan bidang seni sejak awal persekolahan serta amat meminati pengkajian sejarah. Pernah menjadi seorang pendidik pada sekitar 1966 dan bertugas sebagai anggota tentera dalam Rejimen Semboyan pada tahun 1968 hingga 1975. Semangat patriotik dan kecintaan terhadap bangsa dan negara begitu kuat dalam dirinya.Beliau mula menghasilkan karya kreatif dalam bentuk puisi tradisional (syair dan pantun) serta puisi moden (sajak) sejak 30 tahun lalu. Puisi beliau sering menjadi perhatian beberapa orang ahli politik tempatan khususnya dalam Parlimen Langkawi kerana elemen nasionalisme yang diterapkan dalam setiap nukilannya. Beliau pernah menerima beberapa pingat kebesaran antaranya Ahli Mangku Negara (AMN), Ahli Mahkota Kedah (AMK), Bintang Khidmat Masyarakat (BKM) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK). Penulis juga telah dilantik sebagai fasilitator seni budaya oleh Pusat Latihan Kemahiran Negara (PLKN) Langkawi serta sering diundang memberikan pengkisahan tentang sejarah Langkawi, Mahsuri, serta Beras Terbakar yang terletak dalam kawasan rumah beliau.Kini beliau aktif bergiat dalam seni kreatif di Langkawi dan merupakan antara individu yang merestui penubuhan Persatuan Gabungan Penulis dan Penggiat Seni Budaya Langkawi (PGSBL) sebagai entiti memartabatkan seni sastera dan budaya di Langkawi.