Dokumen merupakan salah satu bentuk kaedah pembuktian yang paling banyak digunakan di mahkamah sama ada di mahkamah sivil mahupun di mahkamah syariah di Malaysia. Ciri-ciri yang terdapat pada dokumen seperti bersifat kekal menjadikannya pilihan utama berbanding dengan kaedah pembuktian yang lain. Walau bagaimanapun, isu dalam penerimaan dokumen sebagai kaedah pembuktian adalah berkaitan dengan keaslian bahan bukti tersebut untuk dikemukakan di mahkamah. Sekiranya dokumen yang dikemukakan diragui akan keasliannya, mahkamah akan menolak bahan bukti tersebut untuk dijadikan sebagai keterangan dan memerlukan bukti sokongan lain. Sains forensik ialah pengaplikasian kemodenan sains dalam hal membantu menyelesaikan pelbagai masalah termasuklah memastikan keaslian sesuatu dokumen. Dalam makalah ini, penyelidik membincangkan konsep, isu dan cabaran dalam pengemukaan keterangan dokumentar di mahkamah syariah Malaysia, memperjelas peranan sains forensik dan kepentingannya di mahkamah serta melihat sejauh mana kebolehterimaannya dalam keterangan dokumentar di mahkamah syariah di Malaysia. Bagi mencapai objektif kajian tersebut, penyelidik menggunakan pendekatan secara kualitatif dengan menggunakan kaedah analisis dokumen daripada data primer dan data sekunder. Data yang diperoleh kemudiannya dianalisis dengan menggunakan kaedah analisis dokumen dan dipersembahkan dalam bentuk subtema. Hasil kajian menunjukkan, bahawa pengaplikasian sains forensik dalam keterangan dokumentar dilihat sangat penting khususnya untuk menangani isu yang berkaitan dengan keasliannya sebagai pembuktian dan sebagai langkah awal bagi mengelakkan pemalsuan dokumen daripada berlaku. Selain itu, mahkamah syariah Malaysia secara umumnya telah menerima pakai bukti saintifik berdasarkan Arahan Amalan No. 4 Tahun 2020. Kajian lanjutan perlulah dijalankan khususnya berkaitan dengan pembentukan garis panduan dan peruntukan berkaitan dengan penerimaannya di mahkamah syariah Malaysia